" Blog ini tidak hanya tertumpu kepada perihal beladiri sahaja "

Tauladan Melalui Kepimpinan.

Cuaca di luar sungguh panas terik. Ketika itu Sayidina Usman Bin Affan sedang berehat di rumahnya. Dari tingkap rumahnya dia melihat seorang lelaki yang sudah berumur berjalan terhoyong-hayang menutupi mukanya dari kepanasan dan debu. Sayidina Usman kehairanan. Siapakah lelaki yang sanggup berjalan di tengah panas itu sedangkan orang lain semuanya berteduh. Pasti dia sedang dalam kesusuhan. Kemudian lelaki itu kelihatan memegang seekor sapi pada tali kekangnya. Sayidina Usman memanggil lelaki yang tidak dikenali itu supaya berlindung di rumahnya dari panas yang membara. Setelah lelaki itu tiba di halaman rumahnya, Sayidina Usman terperanjat kerana rupa-rupanya dia adalah Amirul Mukminin, Khalifah Umar Al-Khattab. Sayidina Usman segera keluar dari rumahnya dan bertanya. "Engkau dari mana wahai Amirul Mukminin". Sayidina Umar menjawab, "Sebagaimana yang engkau lihat aku sedang mengheret sapi ini". "Siapakah pemiliknya?" tanya Saidina Usman dengan hairan. Sebab biasanya Sayidina Umar tidak begitu merisaukan harta bendanya. "Ini adalah kepunyaan anak-anak yatim yang telah terlepas dari kandangnya dari berlari di jalan. Aku telah mengejarnya sehingga sekarang telah pun tangkap." Sayidina Usman bertanya lagi, "Tidak adakah orang lain yang boleh melakukan pekerjaan itu tanpa engkau sendiri sebagai khalifah?" Sayidina Umar menjawab dengan tegas, "Siapakahyang bersedia menebus dosaku di hari perhitungan nanti? Mahukah orang itu memikul tanggungjawabku di hadapan Tuhan? Kekuasaan adalah amanah bukan kehormatan." Sayidina usman mencadangkan supaya khalifah berhenti berehat sebentar sementara menuggu cuaca agak redup. Namu Sayidina berkata, "Kembalilah ke rumahmu, biarlah aku selesaikan kewajipanku." Maka Khalifah Umar Al-Kattab pun meneruskan perjalanannya. Sayidina Usman hanya melihatnya pergi dengan air mata membasahi pipi. "Engkau merupakan cermin sebagaimana seharusnya menjadi kewajipan seorang pemimpin negara dan merasa berat dirasakan oleh khalifah selepasmu. Pemimpin yang beriman merasa bimbang dengan jawatan yang disandanya kerana tanggungjawabnya sungguh berat. Berbeza dengan manusia kini yang berlumba-lumba inginkan jawatan supaya dapat menggunakan kuasa dan wang yang ada padanya.

"Marilah sama-sama kita merenung diri kita". Adakah kita melakukan tanggungjawab yang telah diberikan dengan sebaiknya. Sama-samalah kita mengambil iktibar daripada kisah tersebut.

Khamis, 2 Jun 2011

al-kisah Tari Sembah Gayong

 
Allahyarham Dato' Meor bersama Allahyarham Pak Joned
(ada juga Allahyarhamah Cikgu Siti dan Cikgu Badek)
 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Silat Seni Gayong adalah seni tempur yang tidak bertari. Ia bukan seperti Silat Kelantan yang punya langkah sembah, langkah tiga langkah empat dan juga bertapang. Ia adalah silat tempur dan perang. Asal namanya Silat Seni Sendi Harimau. Ilmu koyak-mengoyak musuh, bagai harimau membaham mangsa.

Tapi persoalannya, kenapa adanya Tari Bunga Tanjung? Kenapa wujudnya Tari Bunga Teratai? Dari tari kita namakan Jurus, dari jurus kita namakan Gerakan. Coretan kali ini bukanlah hasil firasat dan pemikiran ambo. Tapi cerita ini diceritakan oleh Pak Ngah Izahar di Batu Kurau. Beliau juga membawa ambo dan sahabat-sahabat "menitih" dan mendengar sendiri cerita berkenaan kedua tari ini...

Al-kisahnya bermula di waktu Dato' sudah menetap di Singapura. Di Perak pada waktu itu dianjurkan oleh pihak Istana satu pertandingan Tari Sembah. Satu Guru tua dari silat kampung menang dalam pertandingan itu. Tarinya bernama Bunga Teratai dan Bunga Tanjung. Berita ini disiarkan di dalam surat khabar, dan sampai pada Dato' Mahaguru....

Di waktu itu, Guru tua itu yang bernama Pak Lang Joned, masih mengajar macam biasa di gelanggangnya. Adanya di gelanggang itu antaranya ialah anak muda bernama Izahar, dan anak guru tua itu sendiri bernama Junuh (ambo rasa mungkin Yunus. Sekarang ambo panggil Pak Junuh). Tanah di Batu Kurau itu masih belum berturap. Tiba satu kereta, penuh dengan lumpur tanah berwarna merah. Maka ketika itulah anak muda Izahar ini melihat pertama kalinya susuk tubuh seorang Mahaguru. Mahaguru dari Silat Seni Gayong yang terkenal di seantero Malaya waktu itu.

Meor Rahman diperkenalkan dirinya. Salamnya disambut mesra oleh guru tua Pak Lang Joned itu. Mereka bertitih nasab keturunan, dan bertemu punca, sedarah sedaging juga kedua-duanya. Mahaguru Meor Rahman menyampaikan hajatnya, "meminang" Tari sembah Teratai Tanjung untuk perguruannya. Maka di situlah mulanya bertapak Gayong di tanah serimbun.

Bunga Teratai dan Bunga Tanjung ditatang ke Singapura. Dijaga rapi, diperelok. Diperhalusi oleh Mahaguru dan diperturunkan pada murid-murid kanannya. Ada sebab kenapa Meor Rahman memilih sembah ini. Itu haknya, yang hanya tinggal sedikit guru tua sahaja yang mengetahui sebabnya. Dari situ lahirlah Bunga Teratai dan Tanjung di Singapura. Dari Singapura, kecantikan dan keharuman kedua bunga ini menjadi igauan dan bualan. Dibawanya ke serata Malaya. Ke Kedah ia tiba, ke Selangor ia pergi, dan ke Perak ia kembali. Dari negeri-negeri ini, ia tersebar ke serata tanahair. Termasuklah ke negeri hamba tanah Serendah Sekebun Bunga Cik Siti Wan Kembang.

Ada rahsia dalam tari ini. Ada jurus tersusun, yang tersurat dan yang tersirat. Gerakannya adab Melayu. Mulanya tauhid ilAllah, menyuci diri mencari Haq. Jangan lupa cerita Hang Tuah, pandainya melangkaui zamannya. Geraknya penuh isi, nafasnya penuh zikir.

Kami dibawa bertemu Pak Junuh, ayahandanya Pak Lang Joned sudah lama kemali ke rahmatullah. Beliau sendiri sudah terbaring di katil. Tapi kedatangan kami disambut dengan gembira, digagahkan segala urat sendi untuk berbual dengan kami. Diceritakan jua pengalamannya pertama kali bertemu Mahaguru.

Ada pun, Bunga Teratai dan Bunga Tanjung banyak versinya di zaman ini. Itu tidak salah. Ambillah, pelajarilah. Kerana semua nya dari Mahaguru. Ceduklah sebanyak-banyaknya rahsianya dan amal dan mahirkanlah. Cuma kadang-kadang, elok juga mencari pokok asalnya. Boleh diperbandingkan dengan hak diri. Yang kurang kita tambahkan, yang cacat kita perelokkan...

versi Pak Hussin betul, versi Cikgu Majid betul, versi arwah Cikgu Ahmad Lazim betul, versi arwah Cikgu Siti betul, versi arwah Cikgu Razali pun betul. tepuk dada tanya selera. ambo suka makan semua.... ;)

yang silap dan salah maklumat itu kerana kelemahan ambo. mohon maaf dan ampun. apo yang baik datang dari Allah, yang buruk datang dari nafsu ambo sendiri...

Salam Sembah Teratai dan Tanjung,
...ambo hok masih belaja...

*silat sembah sultan namanya..bawah dinamakan teratai..atas dinamakan tanjung..teratai dan tanjung di panggil hanya bila dimasukkan dalam Gayong
Sumber diambil dari : http://narapatinantaboga.blogspot.com 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan